Al-Qaeda ancam serang semua kepentingan AS
DUBAI 15 Feb. – Sayap Al-Qaeda di Arab Saudi semalam mengancam untuk melancarkan serangan ke atas bekalan minyak Amerika Syarikat (AS) di seluruh dunia dengan sasaran tidak terhad di Asia Barat sahaja.
Pertubuhan Al-Qaeda Semenanjung Arab menerusi majalah elektronik, Sawt al-Jihad (Suara Jihad), turut mendesak serangan dilakukan ke atas kepentingan minyak AS di Kanada, Venezuela dan Mexico.
“Memang ada keperluan menyerang kepentingan minyak di semua rantau yang membekal minyak kepada AS, bukan sekadar di Asia Barat sahaja,’’ tegas kenyataan itu.
Kumpulan tersebut dipercayai bertanggungjawab melakukan serangan tetapi berjaya dipatahkan ke atas Abqaiq iaitu loji minyak terbesar di dunia pada Februari 2003.
“Sasaran kita ialah kawasan kepentingan minyak seperti telaga pengeluaran, saluran paip eksport, terminal minyak dan kapal tangki ke AS.
“Serangan itu akan mengurangkan bekalan minyak untuk AS dan menjejaskan ekonominya,” tambah kenyataan.
Para pegawai dan pengawal sektor minyak dan gas Kanada menyatakan, mereka memandang serius ancaman tersebut tetapi tidak menaikkan tahap keselamatan.
“Kami selalu mengatakan kami tidak kebal daripada serangan dan kerana itu akan selalu berhati-hati,” kata Menteri Kerja Raya, Stockwell Day.
Kanada merupakan pengeksport minyak mentah terbesar ke AS, diikuti oleh Mexico, Arab Saudi dan Venezuela.
Mexico pula menyatakan, semua loji minyaknya berada dalam keadaan selamat dan tidak ada rancangan untuk meningkatkan tahap keselamatan.
Ia menyalurkan 1.4 juta tong minyak mentah sehari ke AS dan telah meningkatkan keselamatan di telaga pengeluarannya di Teluk Mexico pada tahun 2005 selaras peraturan antarabangsa.
Sementara itu, Venezuela pula menyatakan kesediaan menyiasat ancaman itu.
Sumber Berita : Reuters dan Utusan Malaysia
DIarsipkan di bawah: Politik