Refugee Iraq ke US

AS setuju terima 7,000 pelarian Iraq tahun ini

WASHINGTON 15 Feb. – Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan rancangan mengambil 7,000 pelarian Iraq tahun ini, lebih 10 kali ganda berbanding jumlah rakyat negara itu yang memohon suaka politik sejak tahun 2003.

Washington juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM238 juta (AS$68 juta) sebagai bantuan untuk para pelarian terbabit.

Langkah itu dibuat selepas AS dikecam hebat kerana lambat bertindak balas terhadap krisis membabitkan dua juta penduduk Iraq yang menjadi pelarian dan 1.8 juta kehilangan tempat tinggal.

Rancangan pengambilan pelarian itu juga dibuat selepas pertemuan Setiausaha Negara, Condoleezza Rice dengan Pesuruhjaya Tinggi Mengenai Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Antonio Guterres.

Pada sidang akhbar dengan pembantu kanan Rice, Guterres mengumumkan bahawa ia akan mengadakan sidang antarabangsa penderma di Geneva pada April ini.

Mesyuarat itu adalah susulan kepada rayuan yang dibuat oleh UNHCR pada bulan lalu bagi mendapatkan dana sebanyak RM210 juta (AS$60 juta) untuk membantu 200,000 daripada 1.2 juta penduduk Iraq di Syria dan Jordan serta 250,000 yang menjadi pelarian di dalam negara.

Sejak tahun 2003, AS hanya menerima 466 pelarian termasuk 202 orang pada tahun lalu. “Angka yang dikeluarkan menggambarkan mereka sangat memerlukan bantuan segera,” kata Paula Dobriansky, Penolong Setiausaha Negara yang mengetuai pasukan bertindak peringkat tertinggi mengenai krisis pelarian.

Sumber :  AFP dan Utusan Malaysia

Tinggalkan Balasan

Anda harus masuk log untuk mengirim sebuah komentar.