Defendan Pemboman Madrid

Defendan enggan beri keterangan — Perbicaraan pengeboman kereta api Madrid bermula semalam

MADRID 15 Feb. – Perbicaraan berhubung serangan paling dahsyat yang dikaitkan dengan Al-Qaeda di Eropah bermula di sini hari ini.

Sejumlah 29 suspek dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan terlibat dengan serangan bom kereta api yang membunuh 191 orang dan mencederakan kira-kira 2,000 lagi pada tahun 2004.

Sembilan warga Sepanyol dan 20 lelaki Arab, kebanyakannya dari Maghribi menghadapi pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan mencuri dinamit dari lombong di utara Sepanyol untuk dijual kepada pengebom.

Suspek pertama yang dihadapkan, Rabei Osman Sayed Ahmed menafikan segala tuduhan terhadapnya dan berikrar tidak akan memberi keterangan.

Rabei atau ‘Mohamed Mesir’ didapati bersalah menganggotai sebuah pertubuhan pengganas oleh sebuah mahkamah di Itali tahun lalu dan diekstradisikan ke Sepanyol untuk perbicaraan ini.

Dia adalah antara empat suspek yang disebut sebagai dalang serangan dalam laporan pendakwa raya.

“Adalah sangat sukar untuk membuktikan dia turut bertanggungjawab melancarkan serangan itu,” kata peguam, Luca D’Auria yang membela Rabei di Itali dan menganggotai pasukan peguam belanya di sini.

Dua lagi yang didakwa sebagai dalang menyusuli Rabei di kandang tertuduh.

Sepanyol meningkatkan tahap berjaga-jaga terhadap ancaman pengganas dari rendah kepada sederhana menjelang perbicaraan yang bermula hanya beberapa minggu sebelum hari ulang tahun ketiga serangan 11 Mac itu.

Radio Sepanyol menggambarkan permulaan perbicaraan ini sebagai “hari bersejarah yang sudah lama kita nantikan.”

“Operasi keselamatan sungguh luar biasa. Anda tidak akan percaya betapa banyaknya langkah keselamatan yang diambil tetapi tidak ketara,” kata satu sumber mahkamah.

Siasatan kes itu dibelenggu pelbagai teori konspirasi.

Akhbar berhaluan kanan, El Mundo hari ini meneruskan kempennya untuk membuktikan serangan itu ada kaitan dengan puak pemisah Basque, ETA.

Serangan hampir serentak itu bukan sahaja mendatangkan trauma kepada rakyat Sepanyol tetapi turut mencetuskan kejatuhan kerajaan ketika itu dan membawa kepada pengunduran askar Sepanyol dari Iraq.

Apabila beberapa bom meletup di dalam kereta api komuter yang penuh sesak tiga hari sebelum pilihan raya umum, kerajaan konservatif ketika itu segera menuding jari ke arah ETA.

Namun ketika semakin banyak bukti menunjukkan pembabitan militan berkaitan Al-Qaeda dan timbul pula rakaman video yang mendakwa serangan itu sebagai membalas dendam terhadap penyertaan Sepanyol dalam kempen tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq dan Afghanistan, rakyat Sepanyol keluar mengundi beramai-ramai untuk menyingkirkan kerajaan konservatif.

Kerajaan baru Sosialis segera menunaikan janjinya untuk mengundurkan askar Sepanyol dari Iraq sebaik sahaja memenangi pilihan raya 14 Mac 2004 itu.

Perbicaraan dijangka mengambil masa sehingga Julai ini apabila panel tiga hakim itu menangguhkan sidang untuk menimbangkan semua bukti.

Paling awal keputusan dan hukuman dijangka diumumkan pada Oktober nanti.

Sumber berita : Reuters

Tinggalkan komentar