US penjahatnya terbanyak di Dunia

AS catat rekod banduan paling ramai di dunia

WASHINGTON 15 Feb. – Jumlah banduan di negara ini meningkat lapan kali ganda dalam tempoh 35 tahun dan dijangka semakin meningkat dengan pertambahan 192,000 banduan menjelang tahun 2011.

Kajian oleh Pew Charitable Trusts mendapati, seorang daripada 178 penduduk Amerika Syarikat (AS) akan menjadi penghuni penjara pada tahun 2011 dan peningkatan itu akan melibatkan penggunaan hasil cukai rakyat sebanyak RM96 bilion (AS$27.5 bilion).

“Kita akan berhadapan dengan masalah kesesakan di penjara berdasarkan peningkatan sebanyak 700 peratus banduan di antara tahun 1970 hingga 2005,” tegas Pew menerusi laporan Projek Prestasi Keselamatan Awamnya.

Menurut laporan itu, kajian daripada negeri-negeri pula mendapati kira-kira 1.7 juta penduduk AS akan menjadi penghuni penjara pada tahun 2011, iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus.

Peningkatan itu adalah sesuatu yang membimbangkan kerana ia merupakan tiga kali ganda daripada kadar pertumbuhan penduduk AS.

Data itu bagaimanapun tidak termasuk penghuni di penjara negeri yang berjumlah hampir 750,000 orang dengan jumlah keseluruhannya ialah 2.2 juta iaitu rekod banduan paling ramai di dunia.

Sumber berita :  AFP dan Utusan Malaysia

Tinggalkan komentar